PETALING JAYA – Malaysia berkemungkinan akan membariskan skuad campuran pada penyertaan di Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2024, bulan depan.
Bagaimanapun, bentuk dan kombinasi pemain hanya akan ditentukan oleh pengendali pasukan, Pau Marti Vicente dimana jurulatih itu dijangka akan mengeluarkan senarai penuh, minggu depan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman, berkata tiada isu tentang kritikan peminat mengenai ‘kepulangan semula’ tiga pemain Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Sebenarnya ia keputusan jurulatih, dia bawa 23 ke India kerana kebiasaan memang bawa 23 pemain. Tidak (risau jadi ikutan pasukan lain) kerana itu adalah keputusan ketua jurulatih.
“Untuk (aksi dengan) India, ketua jurulatih sudah melakukan persiapan buat pasukan. Perlawanan di India adalah persiapan untuk Piala AFF dan dia akan umum senarai selepas dia pulang nanti.
“Kemungkinan (ini bayangan skuad Piala AFF) tetapi kita tunggu keputusan Pau minggu depan,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Produk Minuman ‘PABLO DOLLAH’ milik bekas pengendali kebangsaan, Datuk Dollah Salleh.
Dalam pengumuman FAM hari ini, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi aksi pesahabatan bertemu India, Isnin ini dimana Davies, Feroz dan Arif Aiman dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan daripada JDT.
Ia susulan jadual dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 antara JDT dan Kuala Lumpur Rovers FC dilangsungkan pada 20 November ini. – KOSMO! ONLINE