BENTONG – Penduduk khususnya di tanah rancangan Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan diminta memberikan kerjasama dengan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang aktiviti yang disyaki pencurian bauksit di kawasan itu.
Pengerusi Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri telah mengambil perhatian dan mengambil maklum isu ini.
“Penduduk Felda di sini (Bukit Goh) diminta memberi kerjasaman supaya jika berlaku kecurian dan nampak yang mencurigakan terus membuat laporan kepada penghulu pun boleh, tok empat pun boleh, ketua peneroka pun boleh atau terus kepada unit penguatkuasa negeri Pahang.
“Kita memang ada unit khas yang memang terus kepada mereka ini (penduduk) di dalam Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan,”katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Tanah Pahang 2024 peringkat daerah Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan kegiatan haram seorang pegawai sebuah agensi kerajaan negeri yang dikatakan menerima sogokan daripada sebuah syarikat untuk memunggah keluar bauksit Bukit Goh di sini tanpa mengikut prosedur sah memakan diri apabila diberkas bersama dua individu kelmarin.
Operasi oleh bahagian risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilakukan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan yang dilakukan sejak 2022.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati pegawai agensi berkenaan telah menerima sejumlah wang bagi melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik syarikat.
Katanya operasi itu turut menyita wang RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Menurut Amizar, kerajaan negeri sentiasa mengambil serius isu ini dan telah menubuhkan unit penguatkuasa Pahang yang melakukan pemantauan berterusan.
Katanya, kerjasama turut dilakukan dengan pelbagai agensi termasuk juga SPRM dalam usaha membendung ketirisan hasil negeri.
“Kerajaan negeri telah mengambil maklum dan sebenarnya kita sudah ada unit penguatkuasa Pahang yang turun 24 jam mengambil masa untuk memantau.
“Namun kita pantau macam mana pun mereka ada ‘skill’ mencuri dia tu, mencuri ini di luar bidang pemikiran kita sebab itu kita gerakkan semua agensi termasuk melibatkan SPRM,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE