SEBERANG PERAI – Pelajar perlu bersiap sedia mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya sekolah mereka terjejas banjir dan dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya telahpun mengaturkan persiapan rapi untuk berdepan sebarang kemungkinan susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku lebih awal kali ini.
Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) Panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan yang disediakan merangkumi tindakan sebelum, semasa dan selepas banjir.
“Pertama, kita akan pastikan sekolah selamat, kondusif untuk meneruskan pendidikan anak-anak ini.
“Kalau sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana proses ataupun tempoh masa banjir itu masih lagi lama, PDPR akan dilaksanakan.
“Jadi, semua guru kita ini sudah pun terlatih untuk membuat sebarang intervensi khususnya terkait rapat dengan situasi banjir dan situasi-situasi lain yang terkait rapat dengan banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program My Lesen (B2) Tahun 2024 Parlimen Nibong Tebal di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM, Transkrian, Nibong Tebal hari ini. – KOSMO! ONLINE