fbpx

Netizen puji pasport Malaysia ‘berkuasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan pasport Malaysia. – AGENSI

HANOI – Selepas pasport Malaysia naik satu kedudukan untuk menjadi pasport ke-11 paling berkuasa di dunia, perbincangan hangat meletus di media sosial dan mengundang maklum balas netizen dari seluruh Asia Tenggara, lapor laman berita VN Express hari ini.

Pemegang pasport Malaysia kini menikmati akses tanpa  visa ke 183  daripada 227 destinasi, meningkat daripada 179  tahun lalu, demikian menurut indeks terkini pada Oktober lepas oleh Henley & Partners iaitu firma penasihat kewarganegaraan dan kependudukan  global berpangkalan di London.

Ini merupakan ranking tertinggi Malaysia sejak 2014 sekali gus membayangkan peningkatan reputasi pasport tersebut.

Ramai warga Malaysia menyuarakan kebanggaan dan meraikan pengukuhan pasport tempatan yang membolehkan mereka melakukan perjalanan hampir ‘ke mana sahaja’  tanpa perlukan  visa.

“Apabila saya pergi ke Maghribi,  pegawai kastam meminta visa saya. Saya memberitahu bahawa warganegara Malaysia tidak memerlukan visa untuk masuk. Mereka membuat semakan sekali lagi dan datang semula sambil berkata, ‘Anda betul. Anda tidak perlukan visa.’ Perasaan  hebat kerana dapat memasuki sesebuah negara tanpa visa,” kata seorang netizen yang berkongsi pengalamannya di Facebook.

Seorang lagi netizen berkata: “Saya kerap  melawat Denmark dan tidak pernah mempunyai masalah dengan imigresen. Ia sentiasa lancar dan mereka menghormati negara kami.”

“Baru-baru ini, saya pergi ke Kazakhstan dan Kyrgyzstan. I setuju, pasport Malaysia adalah pasport yang dihormati. Tiada masalah langsung dan saya sentiasa disambut dengan senyuman,” kata netizen lain.

Sebilangan netizen turut memuji reka bentuk unik pasport Malaysia.

Di bawah lampu ultra ungu, pasport Malaysia mendedahkan ilustrasi mercu tanda ikonik negara itu termasuk masjid dan bangunan bersejarah. Ia turut menampilkan bunga kebangsaan Malaysia, bunga raya.

Di Asia Tenggara, pasport Malaysia adalah yang kedua paling berkuasa di belakang Singapura.

Perbincangan tersebut mendapat maklum balas netizen di seluruh rantau Asia Tenggara.

Di platform X pula, seorang netizen Indonesia bernama Zakky berkata, rakyat Malaysia bertuah kerana pasport mereka bukan saja memiliki reka bentuk unik tetapi juga berkuasa.

“Bertuah menjadi rakyat Malaysia. Pasportnya berharga dan membolehkan anda melakukan perjalanan hampir ke mana sahaja  tanpa visa, tidak seperti kami,” katanya.

Seorang pengguna Filipina, Ian Paul Saligumba memberitahu: “Sebagai  warganegara Filipina saya setuju. Inilah sebab saya hanya melawat negara-negara bebas visa setakat ini. Saya tidak suka kerumitan dalam memohon visa.”

Bao Dinh Nguyen dari Vietnam pula menyuarakan kekecewaannya apabila menyatakan: “Salah satu pasport paling berkuasa di Asia. Tidak seperti Vietnam, kami memerlukan visa hampir kemana sahaja kami pergi melainkan negara-negara ASEAN dan segelintir  negara kecil. Kadang kala, anda kecewa kerana permohonan anda ditolak sedangkan anda sudah bersiap sedia untuk melakukan perjalanan.” 

Pasport Vietnam jatuh tiga kedudukan untuk menduduki tempat ke-90 dalam ranking dunia dan membenarkan perjalanan tanpa visa ke 52 destinasi sahaja. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI