JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hanyut dibawa arus deras akibat terjatuh ke dalam longkang Jalan Padi Mahsuri, Bandar Baru Uda, di sini semalam ditemui lemas di tebing Sungai Danga petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) (KUP) Nordatul Badrol Abd Rahman berkata, mayat kanak-kanak berusia 10 tahun itu ditemui anggota bomba pada pukul 5.10 petang, kira-kira 3.7 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
“PKO (Pasukan Keluaran Operasi) membuat pencarian dengan menggunakan satu bot di sekitar kawasan Sungai Danga,” katanya kepada pemberita hari ini.
Semalam, media melaporkan bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden seorang kanak-kanak yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam longkang ketika cuaca hujan, pada pukul 3.37 petang.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dalam satu kenyataan berkata, mangsa tergelincir ke dalam longkang ketika bermain air di tepi longkang bersama dua rakan sebelum dihanyutkan arus deras ke arah longkang besar berhampiran pasar raya Warda Mart.