fbpx

Kes bauksit: Disyaki ada unsur penyelewengan – Azam Baki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam (tengah) turut sama menyertai acara menembak pada Program Menembak SPRM bersama media di Lapang Sasar Maktab Penjara Kajang di sini hari ini.

KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki terdapat unsur penyelewengan berhubung kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di sekitar Kuantan, Pahang.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan dalam peringkat sitaan akaun syarikat terlibat yang dikatakan memunggah hasil galian itu ke Terengganu.

Jelasnya, seramai tiga individu telah ditahan termasuk seorang bergelar datuk seri iaitu watak utama dalam kegiatan tersebut.

“Kita dapati ada unsur penyelewengan sebab permit tidak dikeluarkan ke syarikat berkenaan.

“Di pihak SPRM kita telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk menyita akaun syarikat berkeaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Menembak SPRM Bersama Media di sini hari ini.

Semalam, SPRM menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian bauksit tanpa mengikut prosedur yang disyaki turut dilindungi oleh pegawai sebuah agensi di bawah kerajaan negeri sejak tahun 2022.

Dalam serbuan dijalankan oleh Bahagian Perisikan SPRM di sekitar Bukit Goh itu, SPRM menahan tiga individu membabitkan dua pemilik syarikat dan seorang pegawai agensi terbabit kerana dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi kegiatan berkenaan.

Dalam operasi itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM26,000 dan tiga unit telefon bimbit daripada suspek dan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Dalam pada itu, SPRM juga telah membuat pemeriksaan di sebuah lokasi penyimpanan hasil galian berkenaan di Jabor, Terengganu pada hari yang sama.

Di lokasi ini, sebanyak lima jentera iaitu empat unit excavator dan sebuah shovel loader selain tujuh lori pengangkut termasuk lima lori dumper telah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu untuk tindakan siataan atas kesalahan di bawah Seksyen 425 Akta Kanun Tanah Negara 1965.

Selain sitaan di lokasi terbabit, sebanyak lapan unit lori pengangkut (tipper dumper) turut disita di bawah Seksyen 82 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana dipercayai membawa muatan melebihi kapasiti dibenarkan sewaktu pemeriksaan di sebuah persimpangan jalan di Gebeng. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI