KUANTAN – Kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menggempur kegiatan memunggah keluar hasil galian yang dipercayai mengandungi bauksit tanpa mengikut prosedur yang sah di Felda Bukit Goh di sini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri juga akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM berkaitan perkara itu.
“Saya mengalu-alukan tindakan SPRM sebab ini melibatkan hasil, apabila berlakunya kecurian mineral bauksit, kerajaan negeri akan kehilangan hasil.
“Apapun kita tunggu keputusan mahkamah sebab ianya masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian Walimatulurus Perdana 2024 Anggun Suri di Dewan Co-Didik Indera Mahkota, di sini hari ini.
Hari ini Kosmo! melaporkan kegiatan haram seorang pegawai sebuah agensi kerajaan negeri yang dikatakan menerima sogokan daripada sebuah syarikat untuk memunggah keluar bauksit Bukit Goh di sini tanpa mengikut prosedur sah memakan diri apabila diberkas bersama dua individu kelmarin.
Operasi oleh bahagian risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dilakukan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan yang dilakukan sejak 2022. – KOSMO! ONLINE