PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, Shigeru Ishiba pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru, minggu ini.
Dalam pertemuan itu, Anwar mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Ishiba di atas lantikan semula sebagai Perdana Menteri Jepun.
“Kami berdua dapat menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang antaranya perdagangan, peralihan tenaga, pertahanan dan keselamatan, maritim, pendidikan, budaya serta pembangunan unsur nadir bumi (REE),” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, pertemuan itu turut membincangkan isu serantau berkaitan Laut China Selatan dan situasi di Myanmar.
“Kami berdua juga menyentuh isu-isu lain yang menjadi kepentingan bersama termasuk Jepun menyokong Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
“Saya turut mengundang PM Ishiba untuk mengadakan lawatan ke Malaysia sesegera mungkin,” jelasnya.
Tambah Anwar, beliau berharap agar hubungan Malaysia dan Jepun terus diperkasa sekali gus dapat menarik minat lebih banyak pelaburan demi kemajuan dan potensi ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE