fbpx

JDT jelaskan permohonan pelepasan tiga pemain sebab ACLE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN FOTO: IHSAN FACEBOOK JOHOR SOUTHERN TIGERS

JOHOR BAHRU – Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan permohonan pelepasan awal tiga pemain dari skuad negara membabitkan Arif Aiman Hanapi, Feroz Baharudin dan Matt Davies adalah bagi persiapan mengharungi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), berdepan Shandong Taishan.

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, pihaknya menghargai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti yang maklum betapa JDT mengambil serius kejohanan tertinggi peringkat Asia itu.

“Kami dijadualkan berlepas ke China pada Rabu ini, yang mana hanya sehari (20 Nov) selepas pemain-pemain kebangsaan pulang selepas perlawanan Harimau Malaya menentang India pada Isnin ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Edwards menambah, JDT mengambil serius kejohanan elit Asia selepas pelaburan besar yang dilakukan musim ini dengan harapan dapat menjalani kempen dengan cemerlang yang bukan sahaja akan meningkatkan status kelab di Asia tetapi juga meningkatkan ranking Malaysia dalam kejohanan kelab Asia.

Beliau berkata, ia juga akan memberikan manfaat buat bola sepak Malaysia kerana lebih banyak kelab boleh beraksi di kejohanan elit Asia pada musim-musim akan datang.

“Kami telah mencapai kata sepakat bersama skuad Harimau Malaya agar penjaga gol, Syihan Hazmi kekal bersama skuad kebangsaan kerana Harimau Selatan telah menggunakan khidmat Andoni Zubiaurre di ACLE setakat ini.

“Kami berbesar hati dengan Pengendali Harimau Malaya, Pau Marti dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyokong kempen kami di ACLE dan JDT akan terus menyokong aspirasi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027,” ujarnya.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan berkata, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin ini Davies, Feroz dan Arif Aiman telah dilepaskan pulang ke tanah air berikutan permohonan JDT.

Menurut kenyataan itu, ia susulan jadual dikeluarkan Malaysian Football League (MFL) yang menetapkan perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia 2024-2025 bagi JDT bertemu Kuala Lumpur Rovers FC. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI