LIVERPOOL – Kelibat penyerang baharu Liverpool, Federico Chiesa menarik minat beberapa pasukan di Eropah yang mahu cuba mendapatkan khidmatnya pada Januari khususnya gergasi Turkiye, Galatasaray.
Pemain berusia 27 tahun itu menyertai Liverpool dari Juventus pada musim panas lalu, namun setakat ini gagal untuk menembusi kesebelasan utama skuad kendalian Arne Slot itu apabila hanya beraksi selama 78 minit dalam tiga penampilannya.
Slot sebelum ini mengakui bahawa Chiesa masih belum mencapai tahap terbaiknya untuk beraksi pada setiap minggu selepas berdepan isu kecergasan ekoran masalah kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
“Tidak mudah untuk pemain yang terlepas sebahagian besar aksi pramusim. Anda perlu memberikan mereka peluang beraksi lebih kerap untuk mencapai intensiti yang tertinggi.
“Apabila dia sudah berada pada tahap fizikal terbaik, kami akan mampu meraih kelebihan yang dimilikinya. Ketika ini, kami jangkakan Chiesa akan kembali selepas aksi antarabangsa kali ini,” kata Slot.
Kesukaran yang dialami Chiesa menyaksikan khabar angin mengaitkannya dengan meninggalkan Anfield untuk menyertai pasukan lain termasuk AC Milan yang sudah menghubungi Liverpool, manakala Como juga turut berminat.
Bagaimanapun, Galatasaray muncul sebagai kelab yang menyatakan minat mendalam terhadap khidmat Chiesa sekiranya Liverpool tidak lagi mahu mengekalkannya di Anfield. – AGENSI