MANCHESTER – Ketua pasukan Manchester United, Bruno Fernandes percaya kualiti yang dimiliki pengurus baharunya, Ruben Amorim mampu mengembalikan kegemilangan pasukan itu yang berdepan krisis prestasi ketika ini.
Amorim tiba di Manchester pada Isnin lalu untuk memulakan tugasnya sebagai pengurus baharu menggantikan Erik Ten Hag yang dipecat selepas kekalahan kepada West Ham United sebelum digantikan dengan Ruud Van Nistelrooy sebagai pengurus interim.
Ketika mengulas mengenai kehadiran pengurus baru ketujuh selepas era Sir Alex Ferguson itu, Fernandes percaya kelebihan yang dimiliki oleh Amorim adalah hubungannya dengan para pemain.
“Anda boleh melihatnya ketika Amorim meninggalkan Sporting Lisbon. Cara mereka mengucapkan selamat jalan, cara mereka menjadikannya sebahagian daripada kelab dan cara mereka melayannya. Itu semua menunjukkan karakternya,” katanya.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu yang berjaya meledak empat gol dan melakukan tujuh umpanan gol dalam semua kejohanan musim percaya Amorim adalah individu yang mampu mempertahankan para pemain daripada kritikan umum.
“Saya sudah banyak kali melihat ketika pemain berdepan kesukaran, beliau akan ke sidang media dan mempertahankan mereka, memberikan peluang untuk pemain membuktikan kemampuan.
“Beliau memiliki barisan pemain yang muda ketika di kelab lamanya, jadi beliau perlu melakukan perkara itu. Saya berharap beliau juga melakukan perkara yang sama bersama kami di sini,” jelasnya. – AGENSI