TAMPIN – Jalan Batang Melaka-Gemencheh di sini ditutup untuk semua kenderaan susulan kejadian banjir kilat menghampiri satu meter hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Fadhil Hassan berkata, setakat pukul 9 malam tadi, terdapat tiga jalan dinaiki air di mana satu jalan daripadanya ditutup (Jalan Batang Melaka- Gemenceh N26) disebabkan aras air semakin meningkat.
Menurutnya, laluan yang dinaiki air adalah kira-kira 150 meter dan berbahaya untuk dilalui oleh kenderaan berikutan arus air serta cuaca masih lagi hujan.
“Kedalaman air dianggarkan 0.9 meter. Laluan ini ditutup kira-kira pukul 7.30 malam tadi dan pengguna dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Gemas-Tampin dan Jalan Mantai-Air Kuning Selatan-Sungai Dua,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE