PETALING JAYA – Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) perlu menjadi penanda aras untuk ekonomi global, menerajui bukan dari belakang tabir tetapi di barisan hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, terdapat keperluan untuk perubahan asas dalam APEC mengenai pendekatannya terhadap kerjasama ekonomi yang membolehkan semua ekonomi, tanpa mengira saiz, berkembang maju.
Menurutnya, dunia bukan lagi sekadar saling berkaitan, namun ia saling bergantung pada tahap yang menuntut negara untuk memikirkan semula maksud bekerjasama dan wujud bersama.
“Di APEC, kita mempunyai peluang untuk menerajui bukan sahaja dengan idea tetapi dengan tindakan berani yang membina kekuatan ekonomi daripada asas,” katanya ketika berucap pada Dialog Tidak Rasmi Pemimpin dengan Tetamu APEC pada Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Peru, semalam.
Anwar berkata, tanggungjawab APEC adalah jelas untuk mentransformasi saling kebergantungan menjadi kekuatan yang terbesar.
“Gangguan global bukan bersifat sementara, ia adalah norma baharu. Ekonomi APEC perlu beralih daripada langkah reaktif kepada kerjasama ekonomi yang proaktif dan berdaya tahan,” ujarnya.
Katanya, forum ekonomi yang terdiri daripada 21 anggota itu memerlukan rangka kerja ekonomi yang bukan sahaja mampu bertahan terhadap kejutan tetapi juga responsif terhadap kejutan.
“Bayangkan persekitaran perdagangan dan pelaburan apabila setiap ekonomi APEC, sama ada besar atau kecil, maju atau membangun, mampu menyerap kejutan dan berkembang maju,” jelasnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan bahawa pembangunan dan kemajuan ekonomi tidak boleh dilihat semata-mata daripada paradigma materialistik.
“Kita tidak boleh mengabaikan golongan miskin dan mereka yang terpinggir serta mangsa keganasan, pencerobohan dan penganiayaan seperti pembunuhan mereka yang tidak berdosa atas alasan bangsa atau agama atau pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan terhadap rakyat Palestin,” katanya.
Tambah Anwar, dalam memastikan tadbir urus global danmelindungi golongan yang tertindas, APEC dapat menawarkan dunia suatu pendekatan untuk maju ke hadapan yang bukan sahaja makmur tetapi juga mampan dan adil.
“Kita perlu membuat perubahan melalui tindakan kita. Dunia memerlukan kita untuk menjadi berani dan kita perlu bersedia,” ujarnya.
APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota di Lingkaran Pasifik yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik. – KOSMO! ONLINE