PETALING JAYA – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang lemas ketika melakukan aktiviti berakit di Sungai Jahang, Gopeng, Perak, semalam.
Katanya, tragedi itu sangat menyedihkan buat Kementerian Kerja Raya khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) apabila tiga warga agensi itu disahkan meninggal dunia ketika mengikuti kursus di Gopeng, Perak.
“Saya difahamkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia dipercayai lemas akibat dihanyutkan kepala air ketika mengikuti aktiviti rakit arus deras di Sungai Kampar.
“Berdasarkan maklumat awal yang saya terima, manga yang meninggal dunia melibatkan peserta dari JKR Langkawi seramai dua orang dan seorang dari JKR Seberang Perai Tengah.
“Saya amat berdukacita dengan berita yang menyedihkan ini dan mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Alexander berkata, beliau mengikut rapat perkembangan insiden itu dan telah meminta pasukan kementerian dan JKR di negeri terlibat untuk memberi bantuan dan sokongan yang sewajarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tiga kakitangan JKR lemas ketika aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Kampar, Gopeng petang semalam.- KOSMO! ONLINE