fbpx

3 lagu terakhir simbolik dedikasi S Atan buat industri – Adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLE mengakui terkejut dengan pemergian abangnya, Allahyarham S Atan apatah lagi mereka sepatutnya berjumpa semalam.

KAJANG – Komposer legenda Allahyarham Datuk S Atan sempat menghasilkan tiga lagu terakhir sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Karya-karya itu digubah untuk seorang penyanyi wanita baharu sebagai sebahagian daripada projek album yang diusahakan bersama adiknya yang juga penulis lagu terkenal, Belle Fatah.

Menurut Belle atau nama sebenarnya Fatah Hasan Said, 66, projek itu merupakan kolaborasi terakhir mereka setelah hampir lima dekad bekerjasama menghasilkan pelbagai lagu dan album yang menjadi siulan ramai.

“Sejak 1979, saya dan arwah telah bekerjasama menghasilkan banyak karya.

“Untuk projek terbaru ini, arwah sempat menyiapkan tiga lagu, manakala saya sudah menyelesaikan dua lagi.

“Album ini istimewa kerana menjadi simbol dedikasi terakhir arwah dalam dunia muzik,” katanya kepada Kosmo! Online.

Belle ditemui ketika menziarahi Allahyarham abangnya yang menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.53 petang tadi.

Meskipun bergelut dengan masalah kesihatan, Allahyarham yang pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru dan masalah jantung tetap komited untuk berkarya.

Malah, baginya penyanyi wanita tersebut cukup bertuah mendapat buah tangan terakhir komposer hebat.

“Arwah sakit dah lama. Dia pernah dimasukkan ke hosipal disebabkan jangkitan pada paru-paru dan jantungnya lemah.

“Dalam keadaan tak sihat dia masih lagi berkarya. Malah sempat memenuhi jemputan majlis di Sabah baru-baru ini.

“Penyanyi wanita itu nanti cukup bertuah kerana mendapat karya terakhir S Atan,” ujarnya.

Belle mengakui kehilangan abangnya yang berusia 72 tahun itu sangat dirasai, terutama apabila mereka merancang untuk bertemu sehari sebelum pemergiannya.

“Kami selalu berhubung. Cuma saya tak sempat nak berjumpa arwah semalam (Jumaat) seperti yang dirancang.

“Memang terkejut mendapat berita arwah sudah tiada,” jelasnya.

Belle merupakan anak bongsu daripada 13 beradik manakala pengarah muzik Datuk Ramli MS pula merupakan anak saudara.

Allahyarham S Atan yang  melakar nama sebagai antara komposer terbaik negara, akan terus dikenang menerusi karya-karya agungnya yang menjadi legasi seni tanah air. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI