KAMPAR – Polis telah mengambil kenyataan 18 individu untuk membantu siasatan kes lemas membabitkan tiga mangsa lemas yang merupakan pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) semasa kejadian kepala air semasa melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Jahang, Gopeng pada pukul 3.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, 18 individu itu merangkumi peserta dan jurupandu.
“Setakat ini, kita telah mengambil kenyataan daripada 18 individu dan dijangka lebih ramai yang akan dipanggil,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, situasi di sepanjang Sungai Jahang, Gopeng dekat sini dalam keadaan terkawal dan tidak sebarang aktiviti air dikesan hari ini.
Keadaan cuaca panas dan kering namun arus sungai masih deras.
Kejadian kepala air ekoran hujan lebat dikatakan menjadi punca tiga pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) lemas semasa melakukan aktiviti berakit meredah jeram (water rafting) di Sungai Jahang, Gopeng pada pukul 3.30 petang semalam. – KOSMO! ONLINE