RANAU – Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah bilik dalam kebakaran melibat dua buah rumah di Kampung Muhibbah, di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu mengorbankan Wong Ling Ying, 74, manakala anak lelaki serta dua cucunya dilaporkan melecur.
Ketua Balai Bomba Ranau, Ridwan Mohd. Taib berkata, laporan awal yang diterima daripada pihaknya mendapati kebakaran tersebut melibatkan dua buah rumah jenis kekal.
Katanya, rumah pertama disahkan terbakar hampir sepenuhnya, manakala rumah kedua pula mengalami kemusnahan 50 peratus.
“Turut terbakar ialah dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Myvi.
“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemui satu mangsa yang dalam keadaan rentung di rumah pertama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE