KUALA SELANGOR – Seorang peniaga burger warga Indonesia terkedu apabila gerainya tanpa lesen diserbu pihak berkuasa dalam kejadian di Bandar Saujana Utama di sini, malam tadi.
Kejadian tersebut disedari lelaki berusia 30an setelah kembali ke gerainya selepas membuang air kecil di tandas restoran berhampiran dalam serbuan pukul 8.30 malam.
Lelaki tersebut yang masih bujang menyatakan telah bekerja di gerai tersebut sejak tiga bulan lalu.
“Saya dibayar gaji sebanyak RM60 sehari bermula pukul 5 petang hingga 1 pagi.
“Ini kali pertama saya dikenakan tindakan selepas memasuki negara ini sejak Januari lalu,” katanya ketika ditemui semasa serbuan itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin menjelaskan serbuan menerusi Operasi Penjaja Warga Asing tersebut hasil aduan awam mengenai aktiviti perniagaan warga asing di kawasan berkenaan.
Tegasnya, perniagaan itu bukan saja beroperasi tanpa lesen di petak parkir kenderaan malah menyebabkan kesesakan lalu lintas.- KOSMO! ONLINE