GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang merampas hampir 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM10.1 juta dalam operasi di Jelutong, 4 November lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri, , Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, premis tersebut didapati menjalankan aktiviti penjualan produk tradisional tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi secara dalam talian.
“Hampir 70,000 kotak produk tradisional tidak berdaftar dan lebih 70 kotak kosmetik tidak bernotifikasi telah berjaya dirampas. Jumlah keseluruhan hasil rampasan dianggarkan bernilai RM10.1 juta,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi yang dijalankan ini membuktikan bahawa pihak KKM sentiasa mengambil serius terhadap aduan awam bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi termasuk penjualan secara dalam talian yang telah menjadi trend pada masa kini.
“Para pengguna dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman sesawang, platform media sosial serta aplikasi e-dagang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah,” katanya.
Tambahnya, penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. – KOSMO! ONLINE