PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan jumlah pelaburan baharu menerusi pertemuan dengan TikTok dan Google ketika Sidang Kemuncak APEC 2024, di Peru baru-baru ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, Kabinet juga telah dimaklumkan mengenai siri-siri lawatan Perdana Menteri ke beberapa negara baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri juga merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri kerana menerima penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru.
“Anugerah itu antara anugerah tertinggi oleh negara Peru dan ia adalah satu penghormatan serta satu kebanggaan bukan hanya untuk Perdana Menteri tetapi juga untuk negara kita,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Anugerah berprestij itu adalah penghormatan sivil tertua di benua Amerika, yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan dari Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa. – KOSMO! ONLINE