KUALA LUMPUR – Skuad Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) A meneruskan rentak kemenangan dalam kategori bawah 12 (B-12) tahun Piala Supermokh 2024 selepas menewaskan kelab dari Thailand, Pattaya United, 3-0 hari ini.
Pada aksi di Padang A, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil itu, dua gol jaringan Badrul Hazim Hazimi dan Putra Rayyan Zaftran pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad kendalian Abdul Ghani Malik meraih mata penuh selepas dua perlawanan.
Keputusan ini juga mengulangi prestasi perlawanan pertama ketika berdepan FA Singapura dengan kemenangan 5-2.
Menurut Abdul Ghani, kemenangan kedua diraih memberikan motivasi penuh untuk pasukan memburu tiga mata berdepan kelab dari Indonesia, Asiop Academy, esok.
“Syukur Alhamdulillah apa yang dirancang berjaya diterjemahkan barisan pemain dengan usaha yang berterusan sehingga gol berjaya dihasilkan.
“Saya selalu ingatkan pemain agar jangan mudah putus asa dan teruskan mencuba sehingga menjadi kenyataan, akhirnya tiga gol berjaya dijaringkan pada separuh masa kedua.
“Mengatasi Pattaya United (3-0) menaikkan motivasi buat pemain dan memberi peluang buat saya menurunkan pemain-pemain yang belum beraksi untuk melihat serta menilai kemampuan mereka.
“Sebenarnya kesemua pemain kita mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE