JITRA – Seorang lelaki tempatan ditahan bersama tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang cuba diseludup ke negara ini di simpang menghala ke Asun, dekat sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, sepasukan anggota unit peronda polis (MPV) terlebih dulu mengesan kenderaan itu yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari Lebuh Raya Malau, arah selatan.
“Apabila dihampiri, pemandu kenderaan itu yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dilihat memecut kenderaan tersebut.
“Setelah dikejar dalam jarak kira-kira dua kilometer, kenderaan itu terbabas ke bahu jalan di simpang tiga menghala ke Asun di Jitra,” katanya.
Tambahnya, pemeriksaan dijalankan mendapati terdapat tujuh individu lain dalam kenderaan itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita warganegara asing.
“Kesemua mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan dipercayai datang dari Myanmar.
“Warga asing yang ditahan itu berusia antara 26 hingga 43 tahun dengan kesemua mereka dipercayai dalam perjalanan ke Sungai Petani,” katanya.
Tambahnya, ujian urin ke atas pemandu kenderaan itu mendapati dia negatif dadah namun lelaki tersebut memiliki dua rekod lampau berkaitan kes dadah.- KOSMO! ONLINE