BERA – Pahang bertindak proaktif dalam persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) apabila telah selesai menghantar bekalan ke pangkalan hadapan dalam persediaan berhadapan musibah banjir kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, penghantaran barangan dan keperluan telah bermula Ogos lalu dan selesai bulan ini.
“Dalam berhadapan MTL Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar barang keperluan kepada mangsa-mangsa banjir ke 165 pangkalan hadapan di seluruh negeri.
“Jadi kita akan terus melakukan pemantauan dan sekiranya berlaku banjir kita akan pastikan barang bekalan mencukupi untuk mangsa-mangsa banjir,”katanya pada Majlis Gimik Pelepasan Misi Penghantaran Bekalan Pengkalan Hadapan bagi MTL di sini hari ini.
Menurutnya, sebanyak RM10 juta peruntukan disediakan untuk penyediaan bekalan dan keperluan kepada mangsa-mangsa banjir bagi tahun ini dan tahun hadapan.
Beliau memberitahu kira-kira 224 tan bekalan makanan melibatkan sembilan item telah dihantar ke semua 165 pangkalan hadapan di setiap daerah negeri ini.
Katanya, bekalan awal seperti kain selimut dan sebagainya yang tahan lama dihantar awal iaitu pada Ogos lalu ke semua pangkalan hadapan manakala barangan lain seperti makanan dihantar pada penghantaran peringkat kedua bermula bulan ini.
Dalam pada itu, Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, penugasan dalam menghadapi MTL telah dibuat melibatkan petugas JKM dan juga pelbagai agensi lain serta sukarelawan.
“Ia melibatkan 368 petugas JKM, 14 kaunselor JKM, 118 pasukan sokongan psikologi pelbagai agensi dan seramai 1,017 sukarelawan JKM,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE