fbpx

Lima tahun terawal anak adalah ‘tempoh kritikal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA tahun terawal dianggap sebagai tempoh kritikal untuk perkembangan otak. – Gambar hiasan

DALAM kesibukan sebagai ibu bapa, sememangnya mudah untuk menjadi kalut dengan rutin harian menjaga anak, terutamanya semasa tempoh lima tahun pertama yang berharga.

Pada tahun-tahun awal inilah si kecil mengalami pertumbuhan fizikal yang pesat dan perkembangan otak pantas yang menjadi asas untuk keupayaan kognitif serta emosi anak pada masa depan.

Namun, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat mengenai kelewatan perkembangan dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

Malah, laporan pada tahun 2022 menunjukkan bahawa 7.4 peratus kanak-kanak Malaysia berumur 12 hingga 59 bulan mengalami kelewatan perkembangan dengan kelewatan sosial didapati paling kerap berlaku dalam kalangan domain-domain utama, termasuk kelewatan kognitif, fizikal, bahasa dan sosial-peribadi.

Angka ini telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh enam tahun berbanding 1.2 peratus pada 2016.

Peningkatan yang membimbangkan ini menunjukkan betapa pentingnya usaha ke arah mempertingkat sokongan perkembangan bagi kanak-kanak Malaysia.

Ia jelas membuktikan bahawa pemakanan dan pemantauan perkembangan anak adalah sama pentingnya semasa tahun-tahun perkembangan ini untuk memastikan setiap kanak-kanak mempunyai permulaan yang terbaik dalam hidup.

Pakar perkembangan neuro-kognitif awal kanak-kanak di Universiti Kansas, Prof. John Colombo telah menjalankan kajian yang menekankan kepentingan pemakanan semasa tahun-tahun awal kehidupan.

Beliau menjelaskan tentang nutrien penting yang diperlukan untuk neuro perkembangan serta kepentingan mengenal pasti dan memantau perkembangan anak untuk mengesan atau mencegah kelewatan perkembangan ini seawal mungkin.

“Lima tahun terawal kehidupan sering dianggap sebagai ‘tempoh kritikal’ untuk perkembangan otak, dengan seribu hari pertama yang merupakan paling penting. di mana sebanyak 80 hingga 90 peratus daripada hubungan otak terbentuk yang akan menyokong perkembangan kognitif kanak-kanak.

“Pada tempoh ini, otak akan mengalami pertumbuhan dan perubahan pesat yang boleh mempengaruhi kebolehan kognitif dan tingkah laku mereka.

“Pada awal kanak-kanak, kemahiran pendahulu akademik dan sosial mula muncul apabila korteks hadapan otak matang,” katanya.

Tambahnya, perkembangan ini berterusan sehingga peringkat awal dewasa yang mempengaruhi tingkah laku, kemahiran membuat keputusan dan penaakulan.

Itulah sebabnya kenapa pemakanan yang kaya dengan nutrien penting sangat diperlukan pada masa ini serta ia membantu menyokong pertumbuhan dan fungsi otak.

Dalam pada itu, Colombo juga terkenal dengan kajian klinikalnya mengenai kesan nutrien dan mikronutrien terhadap perkembangan kognitif kanak-kanak.

Hasil penyelidikan beliau, terutamanya mengenai Membran Globul Lemak Susu (MFGM), iaitu koleksi sebatian bioaktif penting untuk perkembangan otak dan menunjukkan peningkatan ketara dalam kecerdasan (IQ), bahasa dan fungsi eksekutif.

“Fungsi eksekutif melibatkan perhatian terhadap situasi yang berubah, mengingati respons terdahulu,dan membuat keputusan yang tepat berdasarkan maklumat ini.

“Ini adalah kemahiran penting bukan sahaja di sekolah tetapi dalam kehidupan,” jelasnya.

Tambahnya, MFGM didapati berkait dengan fungsi eksekutif yang lebih baik dan ia penting untuk membuat keputusan serta penentu kejayaan akademik selepas umur 5.5 tahun.

Malah, MFGM menyumbang kepada perkembangan myelin yang penting untuk fungsi otak yang cekap. Ia turut membantu isyarat neural yang penting untuk kesalinghubungan dan komunikasi antara neuron dalam otak.

Proses-proses ini adalah penting untuk kebolehan kognitif dan tindak balas tingkah laku anak.

Dalam erti kata yang lebih mudah, bayangkan myelin sebagai lapisan penebat di keliling wayar elektrik.

Sama seperti lapisan penebat itu yang membantu elektrik mengalir dengan lancar tanpa litar pintas, myelin memastikan isyarat otak bergerak dengan cepat dan cekap, meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk berfikir, belajar dan menyesuaikan diri.

Bagi ibu bapa, memastikan anak-anak mereka mendapat nutrien yang betul boleh memberi impak yang mendalam terhadap keupayaan mereka untuk berfikir secara kritis, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan cabaran baharu kemahiran yang semakin penting dalam dunia kita yang serba pantas.

Selain daripada pemakanan yang baik, mencipta persekitaran yang merangsang, responsif dan positif dari segi emosi juga sangat penting untuk perkembangan otak seseorang kanak-kanak.

Hubungan yang menyokong di antara ibu bapa dan anak adalah kunci untuk mendapatkan hasil neuro perkembangan yang positif\ kerana kanak-kanak mungkin berasa selamat dari segi emosi, meningkatkan kebarangkalian perkembangan daya tahan dan keupayaan kognitif yang diperlukan untuk kejayaan mereka di masa depan.

Colombo juga menekankan kepentingan memupuk pertumbuhan kognitif kanak-kanak dengan menawarkan alat-alat atau permainan yang menggalakkan penerokaan dan pemikiran kritis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI