SEREMBAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan seorang pembantu dapur warga Thailand atas pertuduhan membunuh rakan senegara di belakang sebuah restoran di Taman Bukit Emas di sini, lima tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rohani Ahmad membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Alsu Nichi, 24, selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan satu keraguan munasabah.
“Setelah mendengar keterangan dan hujahan-hujahan pihak pembelaan serta pendakwaan, mahkamah mendapati tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.
“Dalam kes ini, pendakwaan gagal membuktikan kes melampui keraguan munasabah. Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya pada prosiding keputusan di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Abdul Rosah Jamu, 24, di belakang sebuah restoran di Jalan Tampin Bukit Emas di sini pada pukul 9.30 malam, 21 April 2019.
Sehubungan itu, tertuduh yang berasal dari Pattani, Thailand didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, seramai 18 saksi telah dipanggil memberi keterangan.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A.Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.- KOSMO! ONLINE