fbpx

Lebih 800 juta orang hidap diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang penghidap diabetes memantau kandungan gula dalam darahnya di Paris, Perancis pada 24 Mac 2020. - AFP

LONDON – Bilangan penghidap diabetes meningkat dua kali ganda sejak 30 tahun lalu kepada lebih 800 juta orang di seluruh dunia, demikian menurut kajian global seperti laporan akhbar The Guardian kelmarin.

Kajian diterbitkan dalam jurnal Lancet itu mendapati pesakit diabetes dalam kalangan orang dewasa,  meningkat dua kali ganda daripada tujuh peratus kepada 14 peratus antara tahun 1990 hingga 2022.

Peningkatan terbesar dicatatkan di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana, manakala lebih separuh daripada kes diabetes global tertumpu di empat buah negara. 

Daripada jumlah keseluruhan pesakit diabetes pada 2022, lebih satu perempat (212 juta) tinggal di India, 148 juta orang di China, 42 juta di Amerika Syarikat (AS) dan 36 juta di Pakistan.

Di beberapa negara  Kepulauan Pasifik, Caribbean, Asia Barat dan Afrika Utara pula, lebih 25 peratus daripada populasi wanita dan lelaki menghidap diabetes, lapor kajian tersebut.

AS dan Britain mempunyai kadar diabetes tertinggi dalam kalangan negara Barat berpendapatan tinggi dengan masing-masing mencatatkan 12.5 peratus dan 8.8 peratus.

Sebaliknya, kadar diabetes pada tahun 2022 adalah serendah dua hingga empat peratus untuk wanita di Perancis, Denmark, Sepanyol, Switzerland dan Sweden.

Bagi pesakit lelaki, sebanyak tiga hingga lima peratus kes diabetes  direkodkan di Denmark, Perancis, Uganda, Kenya, Malawi, Sepanyol dan Rwanda.

Pengarang kanan kajian itu, Profesor Majid Ezzati dari Kolej Imperial London berkata: “Kajian kami menyerlahkan ketidaksamaan global yang meluas dalam diabetes, dengan kadar rawatan tidak berubah di banyak negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Ini amat membimbangkan kerana penghidap diabetes cenderung lebih muda di negara berpendapatan rendah dan jika tiada rawatan berkesan diberikan, mereka berisiko mengalami komplikasi sepanjang hayat.” – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI