PETALING JAYA – Misi Bekpes Hot FM Tawan Kinabalu tidak sia-sia apabila tiga penyampai radio, Khairy Jamaluddin, AG dan Johan berjaya menawan puncak Kinabalu pagi ini biarpun tanpa Fara Fauzana.
Pendakian yang penuh drama tersebut memperlihatkan ketahanan fizikal dan mental kesemua ahli pasukan yang menyaksikan Khairy tiba hampir sejam lebih awal di puncak Low’s Peak meninggalkan rakan lain iaitu AG serta Johan, sementara Fauzana hanya bertahan sehingga Laban Rata atau Panalaban sebelum turun semula ke Timpohon Gate pagi tadi.
Menyifatkan pendakian yang seolah-olah tiada penghujungnya, kejayaan Khairy atau nama sebenarnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 48, bersama team Bekpes meraih pujian melambung ramai peminat yang teruja mengikuti perkembangan pendakian sejak awal.
“Chief KJ sudah sampai puncak Gunung Kinabalu, ini bermakna, Bekpes Hot sudah tawan puncak Kinabalu,” tulis Hot FM dalam Instagram.
Rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada Khairy selain meluahkan rasa bangga terhadap dedikasi dan semangatnya untuk menakluk Gunung Kinabalu sekali gus menjadi inspirasi buat orang ramai.
“Hebat betul Chief! Alhamdulillah, bukan senang nak sampai ke puncak, memang beri inspirasi untuk kami naik juga,” komen seorang netizen.
“Alhamdulillah syukur, yang paling penting semuanya selamat, tiada kecederaan, hati-hati turun nanti,” tulis seorang pengguna media sosial.
Tahu limitasi diri sendiri, Fara Fauzana, hanya mampu mendaki sehingga ke Laban Rata sahaja dan kini dalam perjalanan untuk turun.
“Saya tahu limit saya. Alhamdulillah, terima kasih atas doa. Saya di Laban Rata sahaja, tidak naik ke puncak, saya tahu limit saya, tengah bersedia untuk turun.
“Sampai di tahap ini pun saya sudah bangga,” tulisnya menerusi Instagram.
Walaupun hanya sampai separuh perjalanan, netizen tetap memuji semangat kental wanita berusia 44 tahun itu.
Rata-ratanya menganggap keputusan Fara sebagai wajar dan menghargai keteguhannya untuk mencuba mendaki walaupun terdapat kekangan.
“Tak apa, Fara. Sampai Laban Rata pun dah cukup hebat! Kami bangga,” komen seorang peminat.
“Alhamdulillah, mahu sampai Laban Rata pun bukan mudah, syabas dan tahniah!,” tulis seorang netizen.
Pendakian Bekpes Hot untuk menawan puncak Gunung Kinabalu merupakan sebahagian daripada misi khas stesen radio Hot FM yang bermula pada 14 November lalu.
Misi tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal malah menjadi satu lagi pencapaian unik bagi Hot FM serta inspirasi kepada para pendengar di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE.