PETALING JAYA – Malaysia akan memperkukuh kerjasama dengan Pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Abu Dhabi (ACTVET) melalui program latihan bersama, pertandingan kemahiran, dan pertukaran pengetahuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha tersebut sangat penting bagi menjadikan sistem TVET Malaysia sebagai sumber kebanggaan negara, membentuk ketahanan dan daya saing global.
Menurutnya, komitmen UAE dalam memartabatkan pendidikan vokasional amat mengagumkan yang telah mengubah pendidikan vokasional menjadi laluan kerjaya yang dihormati dan mampan, melalui pembaharuan strategik yang dilakukan.
Katanya, Malaysia turut berminat mempelajari kepakaran ACTVET dalam latihan Kenderaan elektrik (EV) dan mahu ia diterapkan ke dalam kurikulum TVET di negara.
“Di ACTVET, pengambilan pelajar bermula seawal usia 11 tahun, meningkat melalui tahap kemahiran dan mencapai piawaian yang diiktiraf di peringkat global seperti WorldSkills.
“Komitmen terhadap kecemerlangan ini mencerminkan aspirasi kita untuk MTVET di Malaysia. Dengan mengadaptasi amalan terbaik ACTVET, Malaysia dan UAE bercita-cita untuk membangunkan sistem TVET berkualiti tinggi bukan sahaja melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal tetapi dapat membentuk keyakinan dan perasaan bangga kepada mereka yang mengikuti pendidikan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.