KLUANG – Siasatan awal kemalangan di Kilometer 69.5 Lebuh Raya Utara Selatan (Arah Utara) Simpang Renggam-Machap di sini mendapati pemandu treler dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya menjadi punca kemalangan tiga kenderaan pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Superintenden Nik Mohd Azmi Husin berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.40 pagi ketika treler membawa kontena muatan baja dalam perjalanan dari arah Ayer Hitam menuju ke Johor Bahru.
Menurutnya, apabila sampai di lokasi kejadian, treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dan kontena yang dibawa tertanggal memasuki laluan bertentangan.
“Dalam masa sama, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha jenis MT09 ditunggang lelaki berusia 33 tahun dan kereta jenis Honda Civic dipandu lelaki berumur 25 tahun bersama isterinya, 26, tahun serta seorang bayi lelaki berumur satu tahun.
“Kedua-dua kenderaan itu dari arah Selatan (bertentangan) tidak sempat memberhentikan kenderaan masing-masing dan mengelak menyebabkan mereka merempuh kontena berkenaan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pemandu kereta serta isterinya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan namun anak mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.- KOSMO! ONLINE