KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) terus memperkasakan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang sukan dengan matlamat utama melibatkan lebih ramai belia tempatan sekali gus mengurangkan tenaga kerja asing.
Dalam satu sesi libat urus yang diadakan bersama 56 peserta daripada 32 industri sukan sempena Simposium Kemahiran ILKBS 2024 (SKIL24) kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata, bahawa kementeriannya berusaha untuk memperkasakan TVET Sukan sebagai platform utama dalam menyediakan latihan kemahiran kepada belia Malaysia.
“Kami sangat menghargai maklum balas yang diberikan oleh industri sukan yang mencadangkan pengukuhan TVET Sukan sebagai satu langkah penting untuk melibatkan belia dalam industri ini.
“KBS sememangnya mahu mengekalkan TVET dan tumpuan kepada pengkhususan untuk TVET Sukan. Pada hari ini, kita telah dengar sendiri cadangan daripada industri sukan.
“Objektif utama ialah kami mahu pastikan lebih ramai belia Malaysia terlibat dalam TVET Sukan dan menyediakan perkhidmatan sukan yang lebih murah dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat. Itu adalah hasrat kami,” kata Hannah.
Hannah berkata, KBS juga sedang berusaha memastikan program TVET Sukan disesuaikan dengan keperluan industri dengan memberi tumpuan kepada latihan kemahiran yang relevan dan bersesuaian dengan keperluan pasaran kerja.
“Langkah seterusnya ialah, kami perlu pastikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) semua bersedia dengan tenaga pengajar yang sesuai untuk masuk dalam industri TVET Sukan yang telah dicadangkan oleh Industri Sukan,” ujarnya.
Sebagai rekod, menerusi Data Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022 menunjukkan industri sukan telah menyumbang RM49.5 bilion kepada ekonomi negara.
Sejak 2015, Institut Latihan KBS (ILKBS) telah melahirkan 413 graduan dalam bidang Terapi Sukan dan 523 graduan dalam Perkhidmatan Kedi Golf dan KBS juga akan mula melaksanakan program TVET Sukan dalam bidang Pembinaan dan Penyelenggaraan Fasiliti Sukan, Permotoran Sukan (4 roda dan 2 roda) dan Fotografi Sukan.