SHAH ALAM – Demi menjaga ibu, penyanyi Hafiz Suib kembali menetap di Kuching, Sarawak bagi menguruskan insan kesayangannya itu yang kini dirawat di hospital akibat paru-paru berair.
Hafiz atau nama lengkapnya berkata Mohamad Hafiz Mohamad Suip berkata, keadaan kesihatan ibunya, Halizawati Salleh, 60, yang turut menghidap penyakit kencing manis serta masalah jantung memerlukan pengawasan rapi serta sokongan keluarga.
“Saya kini sudah kembali menetap di Kuching untuk menjaga orang tua saya terutama ibu yang menghidap beberapa penyakit.
“Sekarang ini ibu saya masih dirawat di hospital kerana mengalami paru-paru berair yang turut memberi kesan terhadap jantung.
“Menurut doktor, tiga daripada empat injap jantungnya sudah kurang berfungsi ditambah sekarang ibu pun ada kencing manis, jadi itulah yang membuatkan saya menetap di Kuching,” katanya ketika ditemui selepas Separuh Akhir Muzik Muzik ke-39 (SFMM39), malam tadi.
Begitupun, menurut bapa kepada dua anak itu, isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah dan dua putera mereka masih tinggal di Kuala Lumpur berikutan persekolahan.
Mengulas mengenai keadaan ibunya, Hafiz memaklumkan pada awalnya berat hati untuk tampil di SFMM39, namun ibunya memberikan galakan agar dia meneruskan perjuangan membawakan lagu Terus Bersinar.
Kata Hafiz, sokongan ibunya itu menjadi penguat untuk beraksi mempersembahkan lagu ciptaan Mass Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman.
“Kalau diikutkan memang agak berat hati nak ke Kuala Lumpur tapi saya ingat lagi mak saya suruh lakukan juga persembahan pada malam ini (Khamis) untuk tidak kecewakan peminat.
“Ibu saya doakan yang terbaik untuk separuh akhir ini. Dia minta saya jangan kecewakan peminat yang buatkan saya kuatkan semangat muncul juga.
“Tadi pun sebelum tampil di pentas saya sempat buat panggilan video dengan ibu. Dia sekarang ditemani adik dan ayah kalau saya tiada di sana. Ini hari kelima ibu di hospital, kami bergilir jaga,” ujarnya.
Hafiz berharap orang ramai turut mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya, sekali gus terus dikurniakan kesihatan yang baik.
“Saya harapkan juga doa daripada kawan-kawan agar mereka sihat insya-Allah. Semoga ibu bapa saya sentiasa dilindungi-Nya,” katanya.
Sepanjang penganjuran AJL, Hafiz pernah meraih empat kali trofi Vokal Terbaik selain dua membolot trofi utama serta merangkul Persembahan Terbaik. – KOSMO! ONLINE