PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak sehingga pukul 3 petang ini.
Menurut MetMalaysia, kawasan yang dijangka terjejas adalah Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.
Di Terengganu, cuaca buruk melibatkan Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, dan Kemaman.
Sementara itu, di negeri Pahang, keadaan yang sama dijangka melanda kawasan Kuantan dan Rompin.
“Bagi negeri Johor pula, Segamat, Mersing, dan Kota Tinggi juga dijangka mengalami hujan lebat dan angin kencang,” katanya.
Di Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei, dan Mukah, termasuk Tanjung Manis, Daro, Matu, dan Dalat.
Walaubagaimanapun, cuaca cerah diramal berlaku meliputi kawasan sekitar Lembah Klang serta Sarawak petang ini.
Penduduk di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko banjir kilat dan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang. – KOSMO! ONLINE