LONDON – Empat pencabar utama Manchester City dilaporkan sudah menghantar notis undang-undang menuntut ganti rugi daripada penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu sekiranya mereka gagal dalam 115 tuduhan dihadapi.
City berdepan tuduhan gagal memberikan maklumat tepat mengenai pembayaran perpindahan pemain dan pengurus, melanggar Peraturan Keuntungan dan Kestabilan (PSR), melanggar Peraturan Kewangan Adil (FFP) Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) sejak 2009 hingga 2018 dan gagal memberikan kerjasama ketika proses siasatan dijalankan.
Berdasarkan proses hukuman, City berdepan tindakan melibatkan denda, pemotongan mata dan lebih terus tersingkir daripada saingan EPL, malah mereka juga berdepan kemungkinan digantung bersaingan dalam aksi Piala FA dan Piala Liga Inggeris.
Proses perbicaraan yang dianggap sebagai ‘perbicaraan abad ini’ bermula sejak 16 September lalu dijangka bakal berakhir pada awal 2025 sekali gus bakal menyaksikan nasib yang bakal ditanggung The Citizens.
Bagi menambah ‘derita’ yang ditanggung City, empat pesaing utama kelab itu, Manchester United, Liverpool, Arsenal dan Tottenham Hotspur dilapor sudah menyiapkan notis tuntutan ekoran kerugian yang terpaksa ditanggung mereka kerana ‘penipuan’ yang dilakukan.
Empat pasukan berkenaan dilapor telah menerima nasihat daripada peguam dan pakar undang-undang mengenai potensi tuntutan berkenaan yang boleh dibuat kerana ia masih berada dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Berdasarkan ‘Statut Tempoh Masa’ enam tahun yang dibenarkan, keempat-empat pasukan terbabit boleh melakukan tuntutan selepas pendedahan mengenai penipuan City dilakukan pada 5 November 2018. – AGENSI