MANCHESTER – Selepas melalui prestasi awal musim yang bergolak, Manchester United membuat keputusan paling rumit dengan memecat Erik Ten Hag sebagai pengurus sebelum melantik Ruben Amorim sebagai pengganti.
Pelantikan Amorim dilihat sebagai langkah strategik diambil pihak pengurusan kelab itu bagi memastikan kedudukan United dipulihkan selepas mereka menghuni tangga ke-14 selepas tewas kepada West Ham United yang menjadi aksi terakhir Ten Hag bersama pasukan itu.
Bagaimanapun, super komputer Opta menjangkakan Amorim tidak mampu mengubah banyak nasib yang dilalui pasukan itu pada musim pertamanya di Old Trafford dengan kedudukan mereka pada akhir musim juga tidak begitu memuaskan.
Pada awal musim lalu, Opta menjangkakan United bakal menamatkan saingan musim ini di kedudukan keenam di bawah kendalian Ten Hag sekali gus memperlihatkan peningkatan berbanding tempat kelapan musim lalu.
Bagaimanapun, selepas perubahan yang berlaku di United ketika ini, Opta membuat ramalan bahawa United hanya mampu meraih 54.13 mata untuk aksi sehingga penghujung musim ini untuk menempatkan mereka di kedudukan kesembilan sahaja.
Ramalan itu sekiranya benar akan menjadi prestasi terburuk diraih United dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL), malah jangkaan pungutan mata juga dianggap paling rendah apabila rekod terendah dicatat mereka sebelum ini adalah 58 mata pada musim 2021/22.
Kehadiran Amorim juga dianggap tidak mampu untuk mengubah nasib United dalam tempoh semusim apabila mereka hanya mencatat 0 peratus peluang untuk merangkul kejuaraan EPL musim ini. – AGENSI