PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri di Semenanjung sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Menurut MetMalaysia, antara negeri yang terlibat dengan cuaca buruk ini adalah Pulau Pinang, Perak dan Pahang.
“Di Pulau Pinang, ribut petir ini dijangka menjejaskan kawasan Barat Daya dan Timur Laut. Manakala, di Perak, ia meliputi daerah Kerian, Manjung, dan Bagan Datuk,” katanya.
Bagi negeri Pahang, kawasan yang dijangka terkesan adalah Rompin, dengan kemungkinan berlaku banjir kilat susulan hujan lebat yang berterusan.
Sementara itu, cuaca baik dan cerah diramalkan berlaku di sekitar Lembah Klang, serta Sarawak dan Sabah.
Penduduk di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terhadap risiko banjir kilat dan pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang. – KOSMO! ONLINE