PETALING JAYA – Memasang rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi menangani gejala buli adalah penyelesaian sementara.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Pusat Pengajian Politik Pemuda MCA, Ling Jin Shean berkata, pemasangan CCTV hanya menangani isu tersebut di ‘peringkat permukaan’ berbanding menangani punca sebenar.
“UPNM tidak boleh bergantung semata-mata kepada teknologi untuk menghapuskan gejala buli kerana ia masih boleh berlaku di kawasan bukan di bawah pemantauan CCTV seperti tandas, bilik tidur atau di luar kampus.
“Cadangan ini juga membangkitkan kebimbangan mengenai hak privasi dan bakal menimbulkan perasaan tidak senang hati dalam kalangan para pelajar UPNM,” katanya dalam satu kenyataan.
Jin Shean berkata berkata, isu buli berkait rapat dengan budaya, psikologi serta ketidaksembangan kuasa dan ia akan terus berleluasa selagi isu berkenaan tidak ditangani walaupun dengan pemasangan CCTV.
Justeru, katanya, langkah yang lebih menyeluruh dan berkesan harus diambil seperti meningkatkan sokongan psikologi dan kaunseling di semua peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Menurut beliau, perkhidmatan itu juga boleh berfungsi sebagai saluran yang selamat dan mudah untuk pelajar melaporkan kejadian buli atau isu peribadi yang mengganggu mereka.
Tambah beliau, langkah lain adalah melalui pendidikan dan program kesedaran mengenai bahaya buli bagi memupuk budaya empati dan tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
“Ketiga, sebarang tindakan membuli tidak boleh diterima dan hukuman yang setimpal harus dikenakan ke atas pesalah, namun siasatan yang telus harus dijalankan terlebih dahulu dengan proses terbuka.
“Keempat, universiti harus menganjurkan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan yang menggalakkan interaksi positif antara pelajar. Ini membantu memperkukuhkan semangat kebersamaan dan mengurangkan ketegangan yang boleh mencetuskan buli,” katanya. – KOSMO! ONLINE