fbpx

Broker kereta dituduh 10 kes AMLA bernilai RM1.35 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amier Amzar ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini. – Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang broker kereta mengaku tidak bersalah atas 10 pertuduhan kes penggubahan wang haram bernilai RM1.35 juta berkaitan pembelian tiga buah kereta mewah, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Amier Amzar Akbarudin, 34, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Anas Mahadzir.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, bapa kepada dua anak tersebut didakwa memindahkan dan melupuskan wang RM1.24 juta dan cek bernilai RM110,000 hasil daripada aktiviti haram antara dua buah akaun bank miliknya dan akaun bank tujuh lelaki berbeza berusia 32 hingga 67.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Subang Jaya antara 4 Februari hingga 6 April 2017.

Justeru, dia melakukan kesalahan dibawah perenggan 4 (1) (b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) yang boleh dihukum dibawah subseksyen 4 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Amier Amzar turut membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 44 tahun sebanyak RM 1.45 juta untuk pembelian tiga buah kenderaan import jenis Porsche 911, Lamborghini Aventador dan Audi di Bandar Sunway antara 7 Februari hingga 31 Mac 2017.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Afendi dan Aida Khairuleen mencadangkan jaminan RM40,000 bagi setiap pertuduhan dibawah AMLA manakala bagi pertuduhan penipuan sebanyak RM50,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat pada setiap awal sebulan.

Peguam S. Sathya bagaimanapun memohon jaminan keseluruhan bagi kesemua 11 pertuduhan dihadapi anaknya guamnya sebanyak RM100,000 atas alasan merupakan penanggung tunggal keluarganya termasuk isteri dan dua anak anaknya berusia sebulan hingga tiga tahun.

“Tertuduh hanya bekerja sebagai broker kereta dengan pendapatan purata RM4,000 dan memberikan kepada ibu bapanya RM600 sebulan.
Akaun bank anak guam dan isteri serta ibu bapanya telah dibekukan.

“Pasport anak guam juga telah luput Februari lalu dan tiada risiko melarikan diri. Kami juga tiada bantahan bagi melaporkan diri di balai polis tersebut,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM225,000 bersama seorang penjamin dan tidak boleh mengganggu saksi serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 14 Januari tahun depan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI