PETALING JAYA – Seorang peniaga nasi kandar meluahkan rasa kecewa apabila pelanggannya tiba-tiba membatalkan ‘order’ meskipun ia telah siap dibungkus.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook, peniaga terbabit mendakwa pelanggan itu telah memesan tiga bungkus nasi kambing bersama telur masin.
Jelasnya, semasa membungkus pesanan pertama, pelanggan terbabit meminta diletakkan sekali bawang goreng dan sambal kelapa.
“Masa buat bungkus kedua bawang goreng sudah habis kami pun kata kepada beliau, lalu beliau kata tak mau terus bungkus. Saya kata ambillah dua bungkus ini sebab dah buat tetapi beliau kata tidak mahu beliau balik macam itu sahaja.
“Kalau ikutkan beliau perlu beli juga sebab beliau yang order tetapi beliau sangat angkuh tinggal nasi macam itu sahaja,”luah peniaga terbabit.
Menurutnya, bawang goreng itu diberikan percuma kepada semua pelanggan dan ia cepat habis.
“Siapa mai (datang) dulu dia dapat. Kalau tak boleh makan tanpa bawang goreng patut awal-awal dah tanya, ini tak tanya apa pun suruh buat tiga bungkus.
“Lepas dah buat habis kata tak mau, tak minta maaf apa pun. Punyalah sombong dan ini bukanlah adab yang baik.
“Percayalah kalau tak jaga adab jangan haraplah orang akan suka dengan kita. Adab itu sangat penting perlu jaga di semua tempat dengan semua orang,”katanya.-KOSMO! ONLINE