PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai sesi Dialog Ekonomi Peringkat Tertinggi APEC Business Advisory Council (ABAC) bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Peru hari ini.
Anwar berkata, dalam ucapan ringkas beliau menyatakan bahawa Malaysia akan terus memberi tumpuan kepada usaha pemusatan ASEAN sebagai satu pasaran tunggal seiring peranannya sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) tahun depan.
“Sasaran itu boleh dicapai melalui kerjasama konkrit terutamanya dalam sektor kerajaan dengan perniagaan yang boleh dihubungkan melalui Kaukus ASEAN di dalam ABAC.
“Kita juga perlu memanfaatkan sumber yang ada bekerjasama sebanyak mungkin dalam aspek seperti pendigitalan, keselamatan makanan, serta peralihan tenaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, beliau turut menggalakkan peranan aktif kaukus ABAC bagi menyokong komitmen ASEAN untuk mencapai kemampanan pertumbuhan ekonomi yang berterusan bagi mengurangkan ketidak seimbangan kekayaan.
“Penghargaan saya kepada Indonesia yang telah menjadi Pengerusi Kaukus ASEAN ABAC sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE