PETALING JAYA – Pekan Teluk Intan, Perak mula dinaiki air awal pagi tadi berikutan fenomena Air Pasang Perbani atau air pasang besar yang berlaku sepanjang minggu ini.
Menurut hantaran terkini di TikTok oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem), pasukan dari Bahagian Ukur Geodetik mendapati air mula melimpah sekitar pukul 4.30 pagi hingga 5.30 pagi di Pekan Teluk Intan.
Jupem memaklumkan bahawa fenomena ini dijangka berterusan hingga 17 November, berdasarkan data dari Stesen Tolok Air Pasang Surut (STAPS) di Lumut.
Kenaikan air laut disebabkan Air Pasang Perbani telah mengakibatkan beberapa jalan dan kawasan rendah di sekitar pekan tersebut ditenggelami air.
“Masyarakat setempat disarankan agar sentiasa waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan banjir dalam tempoh beberapa hari akan datang,” katanya.
Penduduk juga diingatkan untuk memantau perkembangan semasa melalui Buku Jadual Ramalan Air Pasang Surut 2024 serta laman sesawang dan media sosial rasmi Jupem untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan pasang surut air laut. – KOSMO! ONLINE