PETALING JAYA – Seramai 50 orang bayi yang lahir di Hospital Pulau Pinang pada bulan ini telah mendapat sumbangan pendidikan berjumlah RM100 setiap seorang daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sumbangan menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN yang dilaksanakan bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia.
Pelaksanaan program dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) itu mula dianjurkan pada tahun lalu.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan turut dihadiri Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Hospital Pulau Pinang Dr. Goh Hin Wang.
Norliza berkata, pelaksanaan program itu bertujuan untuk menanam budaya menabung dan memberi kesedaran kepada masyarakat serta ibu bapa mengenai kepentingan penabungan serta perancangan kewangan sedari awal untuk jaminan masa hadapan anak-anak.
“Dengan membuat simpanan dalam Simpan SSPN, akses kepada pendidikan tinggi anak-anak akan lebih terjamin dan tidak perlu lagi menanggung beban hutang pinjaman yang tinggi,”ujarnya.
Untuk maklumkan, Simpan SSPN merupakan produk simpanan PTPTN yang menawarkan pelbagai manfaat dan kelebihan.
Antaranya ialah pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit.
Turut disediakan Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin Kerajaan dan patuh syariah.-KOSMO! ONLINE