fbpx

Wan Rohaimi janji bawa perubahan untuk Penang FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Rohaimi dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan Penang FC baharu.

GEORGE TOWN – Ketua Jurulatih baharu pasukan Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail
dengan jujur mengatakan yang beliau tidak mampu untuk menjanjikan bulan dan bintang buat skuad kendaliannya itu namun mempunyai misi tersendiri untuk membuktikan perubahannya.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, beliau memberi keyakinan dan jaminan kepada semua termasuk penyokong untuk menyaksikan perkembangan baharu skuad Harimau Kumbang pada perlawanan sulung bawah kelolaannya nanti.

“Saya juga sebagai individu, saya tidak mampu untuk janji bulan dan bintang. Tetapi, saya akan pastikan benda itu berlaku seberapa segera yang mungkin.

“Saya yakin, anda semua dapat lihat perkembangan atau perubahan itu berlaku di first game (perlawanan pertama) saya. Target secara individu untuk membawa pasukan ini ke tempat yang sesuai.

“Penang FC sebenarnya ada material. Bagi saya, saya ikut rapat dengan pasukan ini cuma mungkin belum keluar lagi kualiti yang sebenar. Tugas saya adalah untuk mencari di mana kualiti itu hilang,” katanya ketika ditemui pemberita di Komtar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Rohaimi memberitahu, beliau sedar akan cabaran yang bakal menantinya setelah bertanggungjawab mengemudi skuad Penang FC pada baki perlawanan Liga Super 2024 termasuk perlawanan Piala Malaysia bertemu pasukan Kuching City FC pada 21 November ini.

“Saya yakin, saya mampu membawa pasukan ini ke arah yang lebih baik untuk baki saingan Liga Super musim 2024/2025 dan juga Piala Malaysia.

“Kepada para penyokong Penang FC, saya harap mereka kekal bersama pasukan dan ada baki enam lagi perlawanan di tempat sendiri. Jangan lupa datanglah ke stadium dan menyokong pasukan,” ujarnya.

Untuk rekod, Wan Rohaimi berpengalaman selama 15 tahun sebagai pemain profesional, mewakili pelbagai kelab utama di Malaysia dan meraih lebih 40 cap kebangsaan.

Pengalaman antarabangsa beliau adalah merangkumi kejohanan seperti Sukan SEA, Kelayakan Piala Dunia dan Tiger Cup. Pada tahun 2003, beliau juga mencatat pencapaian gemilang dengan memenangi Piala Sumbangsih bersama pasukan Pulau Pinang.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih PDRM FC serta Penolong Ketua Jurulatih KL City FC dalam perlawanan Liga Super. KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI