GOMBAK – Kemalangan melibatkan kenderaan pengangkut kereta perisai (KPKP) milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada 7 November lalu, dipercayai berlaku ekoran jalan licin dan basah.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, satu kertas siasatan dibuka berhubung kejadian itu di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal mendapati pemandu dalam perjalanan dari Kem Batu 5, Mentakab, Pahang menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.
“Kenderaan itu terbabas melanggar besi penghadang jalan seeblum terbalik di laluan bertentangan di Kilometer (KM) 35.3 menghala ke Bentong ekoran jalan licin dan basah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan sebuah KPKP dari 4 Kompeni Angkut Kor Perkhidmatan Diraja bersama muatan dua buah Kenderaan Jenis A Adnan milik Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja terlibat dalam kemalangan.
Kemalangan berlaku di KM 35.2 dari Terowong Genting Sempah menuju ke Tol Gombak pada pukul 4.45 petang.
Kenderaan terbabit dalam perjalanan secara konvoi sebanyak enam KPKP yang membawa 12 KJA dari Kem Batu 10, Kuantan menuju ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas untuk Latihan Peningkatan Tempur. -KOSMO! ONLINE.