PETALING JAYA – Konflik rumah tangga selama tiga tahun melibatkan sepasang suami isteri meninggalkan kesan mendalam buat anak mereka apabila mengakui terpaksa menjadi ‘posmen’ untuk menyampaikan mesej antara ibu dan bapanya.
Kisah menyedihkan ini dikongsi seorang guru, Cikgu Zahran yang memaklumkan seorang murid datang ke sekolah dalam keadaan tidak terurus dengan pakaian comot dan berlubang.
“Saya hendak bantu setakat baju sekolah banyak kawan-kawan sudi bantu. Rupa-rupanya dia bukannya daripada keluarga asnaf. Ayahnya kerja bagus juga cuma emaknya tidak bekerja.
“Selepas emaknya melahirkan adiknya, emak dan ayahnya tidak bercakap mungkin ada perbalahan serius,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Cikgu Zahran, tindakan pasangan tersebut yang tidak bertegur sapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsa keadaan. Anak-anak juga dipaksa menyampaikan mesej ibu bapa mereka.
“Emak akan masuk bilik dan kunci pintu setiap kali ayah balik,” katanya.
Cikgu Zahran turut meluahkan rasa kagum dengan kesabaran sang ayah yang masih bertahan dalam situasi sedemikian sambil mengakui dia sendiri mungkin tidak mampu bertahan sekiranya berada dalam situasi sama.
“Kalau setahun rasanya saya dah bercakap dengan dinding atau semut dan lipas. Saya kagum dengan depa (mereka) ni. Macam mana depa boleh hidup tidak bercakap bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Tambahnya, anak-anak pasangan tersebut tidak pernah merasai pengalaman percutian keluarga atau pulang ke kampung beraya menambah kesedihan dalam kehidupan mereka.
“Hidup berkeluarga memerlukan tolak ansur dan saling memahami. Perang dingin dalam hubungan adalah perkara biasa, tetapi jika berlarutan hingga bertahun-tahun, ia sudah seperti perang nuklear,” tegasnya.
Sementara itu, Cikgu Zahran juga berpesan, anak-anak yang masih kecil memerlukan bimbingan dan teladan daripada orang dewasa kerana mereka belum mengerti banyak perkara.
Jika ibu bapa gagal memberikan contoh yang baik, masa depan anak-anak ini mungkin terjejas dan penuh ketidakpastian.
“Setiap orang adalah guru, setiap rumah adalah sekolah,” tulisnya mengakhiri hantaran tersebut. – KOSMO! ONLINE.