BANGKOK – Seorang remaja berusia 14 tahun melanggar sebatang pokok selepas tayar sebuah trak pikap yang dipandunya tercabut di tengah jalan, lapor laman berita Thaiger semalam.
Kejadian berlaku kelmarin dekat persimpangan Jalan Khukhan, Mueang, dalam wilayah Sisaket sekitar pukul 5.30 petang (waktu tempatan).
Ketika kejadian, remaja lelaki tersebut memandu sebuah trak pikap jenis Toyota Vigo berwarna kelabu.
Menurutnya, dia terdengar bunyi pelik dari bahagian tayar kiri hadapan trak itu sebelum hilang kawalan.
Tayar kenderaan itu kemudian tercabut dan terpelanting ke tepi jalan, serta nyaris mengenai pintu kaca sebuah premis perniagaan.
Ia bagaimanapun berputar sebelum melanggar sebatang pokok hiasan, manakala tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Pegawai dari Balai Polis Mueang Sisaket tiba di tempat kejadian bagi berbincang dengan keluarga remaja tersebut berhubung pampasan yang perlu dibayar bagi kerosakan pokok itu.
Namun, tiada sebarang butiran mengenai sama ada keluarganya didenda kerana membenarkan remaja bawah umur memandu kenderaan. – AGENSI