PETALING JAYA – TikTok memberi jaminan akan meneliti isu buli siber yang berleluasa di Malaysia menerusi medium berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ia termasuk isu berkaitan ancaman penipuan serta budaya fitnah di TikTok.
Perkara berkenaan dimaklumkan Anwar selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi dari TikTok yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shou Zi Chew.
“TikTok memberi jaminan untuk melihat permasalahan ini dan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Komunikasi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
“Dalam pertemuan ini saya turut bangkitkan beberapa perkara antaranya pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet bermula 1 Januari tahun depan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Dalam pada itu kata beliau, kedua-dua pihak turut membincangkan kerjasama antara Kerajaan Madani dan TikTok di Malaysia.
“Mereka memberi perakuan melanjutkan pelaburan secara besar-besaran di negara kita.
“TikTok juga komited menyokong segala usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” ujarnya.
Terdahulu, Anwar tiba di Lima pada Selasa bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan. – KOSMO! ONLINE