KAJANG – Tiga kilang memproses makanan di Bandar Teknologi, Semenyih di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 10.44 pagi.
Katanya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan.
JBPM turut menghantar pasukan bantuan bersama lima jentera dari BBP Semenyih, Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), BBP Bangi, BBP Seri Kembangan serta BBP Petaling Jaya.
“Seramai 27 pegawai dan anggota terlibat dalam kerja-kerja pemadaman api di tiga unit kilang berkenaan.
“Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.45 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati kilang pertama musnah sepenuhnya, kilang kedua musnah 20 peratus dan kilang ketiga pula terbakar 30 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden terbabit manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.