BANGKOK – Sepasang suami isteri di wilayah Prachin Buri terkejut apabila menemui tulang-temulang dipercayai milik manusia di dalam sebuah peti sejuk beku lama di sebuah ladang babi, lapor laman berita Thaiger semalam.
Menurut pasangan yang kerap membeli barangan terbuang itu, mereka dihubungi seorang lelaki yang mahu menjual peti sejuk tersebut.
Sejurus sampai di ladang itu, mereka membuka peti sejuk beku tersebut untuk memeriksa keadaannya dan menemui sebungkus guni baja sebelum mengalihkannya.
Pasangan itu terkejut apabila melihat terdapat beberapa ketul tulang yang dipercayai tulang manusia.
Mereka kemudian bertanyakan hal itu kepada penjual tersebut yang kemudian menjelaskan bahawa dia bukan pemilik peti sejuk beku itu. Ujarnya, dia hanya penjual dan enggan mendedahkan pemilik sebenar barangan tersebut.
Selepas mendedahkan perkara itu di laman sosial, polis menyerbu ladang babi tersebut kelmarin untuk memeriksa peti sejuk beku yang ditinggalkan.
Polis kemudian menemui dua bungkus guni yang dipenuhi dengan kesan darah serta 67 ketul tulang-temulang.
Siasatan awal forensik bagaimanapun mengesahkan bahawa ia sebenarnya tulang haiwan, dan bukan tulang manusia.
Siasatan lanjut tetap diteruskan bagi mengetahui asal usul tulang-temulang itu. – AGENSI