NARATHIWAT, THAILAND – Pihak berkuasa Narathiwat bersetuju dengan cadangan Malaysia untuk membina bina tembok sempadan di Sungai Golok dekat sini bagi mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan.
Gabenor Wilayah Narathiwat, Trakul Thotham berkata, cadangan itu sangat baik kerana ia merupakan salah satu kaedah untuk mengelakkan kegiatan haram di kawasan sempadan.
“Saya bersetuju dengan cadangan itu (pembinaan tembok) kerana ia menyelesaikan masalah di kawasan sempadan.
“Semua pihak mengambil berat terhadap jenayah rentas sempadan terutamanya dadah. Kegiatan jenayah di sempadan perlu dibanteras habis-habisan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembinaan tembok di sempadan Malaysia-Thailand sepanjang Sungai Golok masih dalam peringkat cadangan.
Menurutnya, pagar sempadan sudah lama dipasang dan terdapat cadangan untuk membina tembok melibatkan jarak lebih 100 kilometer oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Trakul memberitahu, kerjasama pihaknya dengan kerajaan negeri Kelantan merupakan salah satu langkah untuk mengukuhkan stabiliti dan keselamatan penduduk di dua buah kawasan itu.
Menurutnya, faktor stabiliti dan keselamatan merupakan elemen penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala terutamanya bagi Malaysia dan Thailand.
“Kehidupan rakyat Kelantan dan Narathiwat tidak banyak perbezaan. Jika ada banyak perdagangan sempadan, sudah tentu ia akan meningkatkan pelaburan antarabangsa di kedua-dua kawasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE