fbpx

Syarikat di Peru minat keupayaan Malaysia eksport produk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika menghadiri mesyuarat meja bulat yang turut dihadiri oleh 22 wakil daripada 20 organisasi.

PETALING JAYA – Syarikat-syarikat di Peru menunjukkan minat terhadap keupayaan Malaysia mengeksport produk seperti peralatan dan produk perubatan, bahan binaan berkaitan keluli dan kaca, serta produk-produk barangan pengguna.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, ia dizahirkan menerusi mesyuarat meja bulat yang dihadiri oleh 22 wakil daripada 20 organisasi.

Organisasi itu termasuk konglomerat terkenal Peru seperti Grupo Romero, Grupo Armejo Yepez, dan Grupo Molicom, selain wakil daripada Pihak Berkuasa Pelabuhan Negara Peru dan Dewan Perniagaan Kebangsaan.

“Mesyuarat meja bulat dengan pemimpin industri dan perniagaan merupakan platform bagi menerangkan peluang dalam bidang perdagangan serta pelaburan ke dalam negara kepada syarikat dari Amerika Selatan.

“Platform ini turut memberi peluang kepada syarikat-syarikat Peru untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai dasar Malaysia khususnya dalam perkara seperti peralihan tenaga, kelestarian serta pensijilan halal,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Anwar berkata mesyuarat secara aktif membincangkan strategi untuk memanfaatkan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-pasifik (CPTPP).

“Ia berikutan kedua-dua negara merupakan ahli dalam perjanjian ini, serta potensi kerjasama dalam logistik maritim termasuk pengurusan pelabuhan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain Anwar memaklumkan, satu usaha sama baharu syarikat dari Malaysia, Yinson Group dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di Peru turut diraikan dengan pembukaan ladang solar di Arequipa yang kedua terbesar di Peru.

Peningkatan ketara perdagangan di antara Malaysia-Peru katanya, merupakan manifestasi kesungguhan negara bagi memudah cara perdagangan dua hala.

“Ia dilakukan dengan pelaksanaan dasar yang jelas serta penekanan kepada memudah cara perniagaan (ease of doing business) yang diamalkan demi manfaat rakyat dan hubungan baik kedua-dua negara.

“Saya percaya kerjasama ini merupakan satu bentuk usahasama global south yang bukan sahaja dalam bidang ekonomi malah dalam membentuk masa depan lestari yang memanfaatkan negara, rakyat dan Peru,” tambahnya.

Terdahulu, Anwar tiba di Lima pada Selasa bagi memulakan lawatan rasmi sulung beliau ke benua Amerika Selatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI